DALAM DIRI MANUSIA SUDAH ADA ASAS-ASAS PERINGATAN
Antara keistimewaan manusia yang Allah Taala bekalkan semula jadinya ialah di dalam diri manusia itu sudah tersedia asas-asas peringatan. Sama ada peringatan-peringatan yang positif mahupun yang negatif. Yang dimaksudkan peringatan-peringatan itu di antaranya yang positif ialah:
1. Manusia suka dikasihi atau dicintai.
2. Suka diberi pertolongan.
3. Suka diberi simpati.
4. Suka diziarahi.
5. Suka diberi ilmu.
6. Suka diberitahu.
7. Suka dijamu.
8. Suka diberi hadiah.
9. Suka diberi maaf.
10. Suka tidak diganggu dan lain-lain lagi.
Antara yang negatif ialah:
1. Tidak suka dibenci.
2. Tidak suka dicaci.
3. Tidak suka diganggu.
4. Tidak suka dimarahi.
5. Tidak suka diberi malu.
6. Tidak suka disusahi.
7. Tidak suka dibiarkan susah.
8. Tidak suka tidak dipeduli.
9. Tidak suka tidak ditolong.
10. Tidak suka orang sombong kepadanya.
11. Tidak suka barangan dirampas atau dicuri.
12. Tidak suka dizalimi.
Selain itu yang paling asas ialah rasa bertuhan sudah sedia ada di dalam hati manusia. Cuma Tuhan itu bagaimana, itu sahaja yang mereka tidak tahu. Apa yang disebutkan di atas, itulah dia fitrah semula jadi manusia atau gharizah atau naluri semula jadi. Ia dibekalkan oleh Allah bersama tubuh lahirnya. Inilah yang kita maksudkan peringatan Allah Taala yang telah dibekalkan di dalam diri manusia. Firman Allah SWT: Maksudnya:
“Tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”
(Ar Rum: 30)
PERINGATAN ITU MANUSIA TIDAK JADIKAN PERINGATAN
Sepatutnya manusia menjadikan asas-asas peringatan itu sebagai peringatan di dalam kehidupan mereka kerana fitrah semula jadi manusia itu sama saja. Yakni apa yang disukai oleh seseorang, itu jugalah yang disukai oleh orang lain. Apa yang tidak disukai seseorang itu, itulah juga yang tidak disukai oleh orang lain. Ertinya asas-asas agama Islam itu sudah Allah Taala bekalkan di dalam diri manusia iaitu rasa bertuhan, apa-apa yang disukai dan apa-apa yang tidak disukai. Apa yang dilarang dan apa yang tidak dilarang. Apa yang digemari dan apa yang tidak digemari. Semuanya sudah sedia ada. Maksudnya:
“Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, tidaklah mereka menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.”
(Al Furqan: 73)
Maksudnya:
“Itulah ketetapan agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri.”
(At Taubah: 36)
Maksudnya:
“(Yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari Kiamat dengan kekal dalam azab itu dalam keadaan terhina.”
(Al Furqan: 69)
Maksudnya:
“Kecuali mereka yang bertaubat beriman dan mengerjakan amalan soleh, kejahatan mereka Allah gantikan dengan kebajikan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Al Furqan: 70)
Oleh kerana fitrah semula jadi manusia itu Allah Taala telah bekalkan rasa bertuhan, apa yang disukai dan apa yang dibenci, maka lantaran itulah agama Islam itu dikatakan agama fitrah. Yakni, apa yang diperintahkan oleh Islam dan apa yang dilarang dan apa yang disukai serta apa yang dibenci oleh Islam, ia sesuai dengan fitrah semula jadi manusia. Sama ada yang lahir mahupun yang batin. Kehendak-kehendak Islam itu tidak bercanggah dengan fitrah semula jadi manusia. Islam datang hanya memperluas, memantapkan dan memberitahu cara-cara membuat baik dan cara-cara jangan membuat jahat, mengesahkannya serta memperkatakan ada setengah-setengah hal dari perkara-perkara yang tidak boleh dijangkau oleh akal seperti hal-hal kerohanian dan alam ghaib serta mengenai Tuhan dan ketuhanan.
Berdasarkan fitrah semula jadi ini sepatutnya manusia mengambil ingatan bahawa apa yang dia suka, sepatutnya itu jugalah yang diberi kesukaan kepada orang lain. Apa yang dia tidak suka, itu juga yang sepatutnya dia tidak lakukan kepada orang lain. Lebih-lebih lagi datang Islam mendorong, menyuburkan, mengingatkan serta menguatkan lagi dengan busyra dengan Syurga dan tanzir dengan Neraka. Ini supaya mengingatkan lagi kepada manusia agar apa yang dia suka, dia mesti lakukan kepada manusia lain. Apa yang dia tidak suka dia tidak akan lakukan kepada manusia lain agar manusia hidup aman damai dan harmoni.
Tetapi apa yang berlaku kepada umum manusia atau secara majoritinya, apa yang dia suka maka dia suka kalau orang boleh lakukan padanya, tetapi dia tidak suka lakukan kepada orang lain. Begitu juga sebaliknya apa yang dia tidak suka, dia tidak suka kalau orang lain melakukan kepadanya, tapi apa yang dia tidak suka itu, dia suka pula menimpakannya kepada orang lain. Maka justeru itulah timbul perselisihan, perbalahan, permusuhan dan peperangan di kalangan manusia. Akibatnya tiada
siapa yang susah melainkan manusia itu sendiri yang mendapat kesusahan.
MENGAPA TIDAK MENGAMBIL PERINGATAN?
Firman Allah SWT: Maksudnya:
“Tidakkah kamu perhatikan bahawa Allah memudahkan untukmu apa yang di langit dan di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-nikmat-Nya lahir dan batin.”
(Luqman: 20)
Mengapa manusia tidak mahu mengambil peringatan? Padahal manusia mendapat dua peringatan, iaitu pertamanya peringatan yang semula jadi. Yang kedua pula, kedatangan ajaran Islam. Ini menunjukkan bahawa nafsu manusia itu di antara sifatnya sangat mementingkan diri, didorong pula oleh syaitan yang sentiasa menghasut manusia agar manusia lupa dengan peringatan sama ada peringatan semula jadi mahupun peringatan daripada Allah Taala.
Oleh kerana sifatnya yang sangat mementingkan diri itu, setiap orang suka kalau kebaikan dan kesenangan itu berlonggok dan bertompok pada dirinya sahaja, tapi kepada orang lain biarlah berlonggok dan bertompok pula berbagai-bagai macam kesusahan dan masalah. Padahal apabila kita mementingkan diri sendiri dan menimpakan berbagai-bagai kesusahan dan masalah kepada orang lain atau membiarkan berbagai-bagai masalah berlaku kepada orang lain, orang lain akan membenci, marah dan bertindak kepada orang lain. Akhirnya apa yang akan terjadi ialah orang yang susah menimpakan kesusahan kepada orang lain kerana sakit hati, maka orang yang senang tadi mendapat kesusahan pula. Akibatnya orang yang senang tadi akhirnya senasib dengan orang yang susah. Mereka mendapat kesusahan juga. Cuma kesusahan itu bentuk dan sifatnya sahaja tidak sama. Namun sama-sama mendapat kesusahan kerana tidak mengambil peringatan tadi. Sama ada peringatan semula jadi mahupun peringatan dari Allah Taala.
No comments:
Post a Comment
berkata benarlah walaupun pahit