mari bersilaturrahim! ^_^ Allahu Rabbi..
MAKSUD SILATURRAHIM?
"Menghubungkan Silaturrahim" atau tali persaudaraan dan kekeluargaan.
Silah memberi maksud hubungan, Ar-Rahim maknanya pertalian manusia dari
segi keturunan dan disebut juga kerabat atau keluarga.
IMAM
Ibnul Atsir berkata: "Silaturrahim adalah suatu ungkapan berkaitan
dengan menjalinkan perbuatan baik terhadap kaum kerabat yang memiliki
hubungan senasab atau perkahwinan, berlemah lembut kepada mereka,
menyayangi mereka, memerhatikan keadaan mereka, walaupun mereka jauh dan
berbuat jahat. Manakala memutuskan silaturahim adalah suatu perbuatan
yang berlawanan dengannya"
Kaum kerabat terdiri daripada kedua
ibu dan bapa, adik beradik, pakcik, makcik, sepupu, nenek, datuk dan
anak yang memiliki hubungan kekeluargaan yang dekat. Adapun hubungan
yang dinisbahkan kepada selain ahli keluarga, maka ia disebut sebagai
ukhuwah Islamiah (persaudaraan sesama Islam).
Allah swt ada
berfirman dengan maksud: "Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika
kamu dulu (di masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan
hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang yang
bersaudara" (Surah Ali-Imran, ayat 103)
ISLAM ANJUR HUBUNGKAN SILATURRAHIM
Mengeratkan silaturrahim sesama saudara hukumnya wajib sebagaimana perintah Allah swt dalam ayat di bawah ini:
“Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan
menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum
kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu”
(Surah an-Nisaa’, ayat 1)
Kewajipan mengeratkan silaturrahim
itu juga disandarkan dengan rasa keimanan kepada Allah swt sebagaimana
disebutkan dalam hadis Rasullullah saw. Baginda bersabda yang bermaksud:
“Dan siapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka
hendaklah dia mengeratkan kekeluargaan (silaturrahim)” (Hadits riwayat
Bukhari)
Allah swt mewajibkan kepada kita semua untuk
menghubungkan silaturrahim dan mengharam memutuskannya dan menyuruh kita
supaya sentiasa berbuat baik dan tolong-menolong dalam perkara-perkara
kebaikan kepada semua manusia terutama kepada mereka yang ada hubungan
kekeluargaan.
Firman Allah swt dalam surah An-Nisa', ayat 1 yang bermaksud:
"Wahai umat manusia, hendaklah kamu sekalian bertaqwa kepada Allah,
yang telah menjadikan kamu sekalian (berasal) dari satu bapa (Adam) yang
kemudian dijadikannya pula pasangannya , dari kedua jenis kelamin iaitu
maka berkembang biaklah manusia di muka bumi ini lelaki dan perempuan.
Maka hendaklah kamu takut kepada Allah yang kamu minta-meminta dengan
namaNya, demikian juga hendaklah kamu jaga tali persaudaraan
(silaturrahim). Allah selalu waspada tehadap kamu sekalian"
Dalam surah yang sama (An-Nisa’), ayat 36, Allah swt berfirman lagi, yang bermaksud:
"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan jangan kamu sekutukan
dia dengan sesuatu pun jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua
ibu-bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan
jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan
sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu
miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong
takbur dan membangga-banggakan diri"
Rasulullah saw ada membuat penjelasan berhubung dengan hubungan silaturrahim ini. ANTARA hadis yang berkaitan:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia menjalinkan silaturrahim” (Hadis riwayat Bukhari)
“Tidak masuk Syurga mereka yang memutuskan silaturrahim” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, dengan bersandarkan peringatan Allah swt dan Rasul saw ini,
MARI KITA jalin, MARI KITA pelihara dan MARI KITA suburkan hubungan
silaturrahim di kalangan ahli-ahli keluarga kita.
HIKMAT PENSYARIATAN SILATURRAHIM
Hubungan silaturrahim adalah hubungan untuk menyebar kasih sayang dan
kecintaan bukan kebencian antara sesama orang yang beriman. Mereka yang
mengutamakan hubungan silaturrahim memiliki banyak kelebihan yang
dianugerahkan oleh Allah swt. ANTARANYA:
1.Hikmah
bersilaturrahim ialah dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur
sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Nabi
saw bersabda dengan maksud:
“Barangsiapa yang suka dimurahkan
rezekinya dan dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambungkan
kekeluargaan (silaturrahim)”
2. Selain melaksanakan perintah
Allah swt dan RasulNya, jalinan silaturrahim juga akan membina suasana
kasih sayang yang harmoni dan saling bantu membantu di kalangan ahli
keluarga. Hubungan baik ini juga membolehkan berlaku perkongsian ilmu
serta kebaikan, meraih kekuatan dengan kesatuan kekeluargaan yang
terbina, menjauhi keburukan seperti fitnah atau buruk sangka dan yang
akhirnya diberi jaminan syurga oleh Allah swt.
Daripada Abu
Ayyub al-Anshari, katanya: "Seorang lelaki datang bertanya kepada
Rasulullah saw: Wahai Rasulullah, beritahu kepadaku suatu amal yang
dapat memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka.
Maka Nabi SAW bersabda: Engkau beribadah kepada Allah dan tidak
mensyirikkanNya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan
zakat dan menjalinkan silaturrahim" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Firman Allah swt yang bermaksud: "Dan bertaqwalah kepada Allah yang
dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan
(peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga
dan mengawasi kamu" (Surah an-Nisaa', ayat 1)
Rumusannya,
usaha menjalinkan silaturrahim memberikan banyak manfaat. Ia sebagai
suatu usaha (tanggungjawab) melaksanakan perintah Allah swt dan
RasulNya, membina suasana kasih sayang yang harmoni dan saling bantu
membantu, diberi keluasan rezeki oleh Allah, meraih kekuatan dengan
kesatuan kekeluargaan yang terbina, menjauhi keburukan seperti fitnah
dan buruk sangka, dan yang akhirnya diberi jaminan Syurga (dijauhkan
dari Neraka) oleh Allah swt.
MENJALIN SILATURRAHIM – BAGAIMANA CARA?
Menjalinkan hubungan silaturrahim di kalangan ahli keluarga dapat
dilaksanakan dengan pelbagai cara. ANTARANYA sentiasa berhubung dengan
mereka sama ada dengan menziarahi mereka atau dengan memanfaatkan
peranan alat bantu teknologi masa kini (seperti internet, e-mail, sms,
atau telefon), bertanyakan khabar , memberikan hadiah, sentiasa
hormat-menghormati terutamanya kepada mereka yang lebih tua, segera
membantu mereka yang memerlukan dan yang berada dalam kesusahan, saling
sayang menyayangi, ingat mengingatkan, memuliakan mereka, mendampingi
mereka jika mereka menghadapi kesedihan, meraikan kegembiraan mereka,
sentiasa memenuhi undangan dari mereka, mendoakan kebaikan buat mereka,
mendamaikan yang berselisih, dan juga mengajak mereka kepada jalan
kebaikan yang diredhai oleh Allah swt.
Perhubungan yang baik
terhadap ahli keluarga ini perlu dilakukan secara berterusan bertepatan
dengan petunjuk Allah swt dan sunnah RasulNya. Kepada mereka yang
memiliki ahli keluarga yang kafir, fasiq, atau seumpamanya, maka jalinan
kekeluargaan bersama dengan mereka boleh dilakukan melalui
nasihat-nasihat tertentu yang baik-baik, memberi tunjuk ajar,
peringatan, membantu mereka dalam kesusahan, dan berusaha mengajak
mereka ke jalan yang benar dengan hikmah.
Kita boleh gunakan
kesempatan hari-hari perayaan (umpamanya Hari Raya Aidil Fitri) untuk
menjalinkan hubungan silaturrahim yang lebih erat di kalangan sesama
ahli keluarga. Yang terputus, kita jalinkan kembali; yang renggang, kita
dekat-dekatkan; dan yang rapat, kita mesra-mesrakan. Hulurkan tangan
memohon maaf tanpa mengira siapa yang benar dan siapa yang salah. Itulah
sifat seorang Muslim yang mulia.
SILATURRAHIM YANG TERPUTUS - JALIN SEMULA !
Islam amat menuntut umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama
manusia, kerana akibat memutuskan silaturrahim itu amat besar kesan
keburukannya, bukan hanya setakat di dunia sahaja bahkan juga di akhirat
kelak. Lazimnya, gejala memutuskan silaturrahim di kalangan ahli
keluarga berpunca daripada pertengkaran atau perselisihan yang
disebabkan oleh harta benda, harta pusaka, hutang piutang, hasutan,
fitnah, sifat sombong dan mementing diri sendiri. Hatta perkelahian
antara sesama anak pun juga boleh menyebabkan terputusnya ikatan
silaturrahim, di mana kedua-dua pihak saling salah-menyalahkan, didorong
lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai kesabaran dan sikap terbuka
serta mengalah untuk memohon maaf atau saling bermaafan. Permusuhan dan
pergeseran seperti ini boleh berlaku secara berpanjangan jika tidak ada
kesedaran dalam diri kedua-dua pihak atau tidak ada orang lain yang mahu
meleraikan atau mendamaikan pihak yang bermusuhan ini.
Perlu
diingat bahawa tanggungjawab untuk membina semula silaturrahim yang
terputus, bukan sahaja terletak kepada dua pihak yang bermusuhan, tetapi
sanak saudara atau kawan-kawan yang mengetahui tentang perkara ini juga
boleh memainkan peranan yang penting selaku orang tengah dalam
mendamaikan dan menyambung semula silaturrahim yang terputus.
Oleh itu binalah ikatan silaturrahim sesama insan dalam apa jua
kesempatan, mungkin dalam suasana hari raya, merupakan kesempatan yang
baik untuk menjalinkan semula hubungan yang baik,
tetapi menunggu
hari raya mungkin mengambil masa yang lama. Oleh itu, berfikir dan
bertindaklah secara bijaksana dalam mencari waktu yang sesuai pada
bila-bila masa sebagai satu wadah untuk memperkukuhkan lagi tali
silaturrahim.
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud:
"Orang yang menjalinkan hubungan kekeluargaan bukanlah mereka yang
membalas sesuatu kebaikan, tetapi adalah mereka yang menyambungkan
(menjalinkan semula) suatu perhubungan yang telah terputus" (Hadis
riwayat Bukhari)
Kita perlu berusaha menghubungkan
silaturrahim dengan mereka. Kita ketepikan kebencian dan padamkan api
dendam. Kita berlaku baik dan tunjukkan kasih sayang kepada mereka. Kita
juga perlu bersabar terhadap perbuatan yang menyakitkan dan berbuat
baik dan bergaul bersama mereka dengan akhlak yang mulia semoga kita
semua beroleh kemenangan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat
Firman Allah swt di dalam surah Fussilat ayat 34, yang bermaksud:
"Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat
tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik
apabila engkau berlaku yang demikian maka orang yang merasa permusuhan
terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat
karib."
KESIMPULAN
Mewujudkan silaturrahim itu
terutamanya di kalangan sesama ahli keluarga adalah satu tuntutan dan
menjadi kewajipan kepada umat Islam melaksanakannya selari dengan
amalan-amalan lain. Kalau silaturrahim itu belum wujud, hendaklah kita
wujudkan; kalau ada apa-apa masalah atau kesulitan, hendaklah kita
selesaikan; kalau sudah terputus, hendaklah kita pulihkan dan jika sudah
baik keadaannya hendaklah kita suburkan.
~ hidup ini indah bila semuanya meyakinkan ~
Allah Cinta Agungku
^_^
Salam ukhwah dari Rumah Tua. :-)
ReplyDeletesalam ukhuwah fillah ya ukhti ;)
ReplyDelete