- by Hilal Asyraf.
- Oct 26th, 2011
Semua mengidamkan bidadari. Lelaki.
Semua ingin menjadi bidadari. Perempuan.
Jadi saya lebih fokuskan kepada yang kedua. Walaupun saya sedar saya
adalah seorang lelaki. Tetapi izinkan saya menulis perkara ini. Mungkin
seronok juga jika saudari-saudari saya mendengar pandangan yang
berlawanan jenis dengannya bukan? Saya nampak anda tersenyum di situ.
Bidadari Dunia. Saya menulisnya kerana saya percaya, perempuan adalah
antara makhluk yang penting di dalam dunia. Islam, nyata mengangkat
wanita ke satu darjat yang tinggi. Justeru pada saya,
perempuan-perempuan yang tunduk kepada Allah SWT, mentaatiNya, menjauhi
laranganNya, itulah dia bidadari-bidadari dunia. Ya, mereka bidadari,
tetapi mereka adalah manusia.
Persoalan, bagaimana mahu menjadi bidadari ini?
Itulah yang akan dikupas oleh saya di dalam Bidadari Dunia.
Dari kaca mata sayalah, seorang lelaki.
Syurga. Kita tahu syurga ini amat indah, tidak terjangkau dek
pandangan akal, tidak pernah langsung terdengar dek telinga, apatah lagi
pernah dilihat dek mata. Ada segala-galanya, memenuhi segenap
kesenangan yang dicita.
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang
baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga
yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi
orang-orang yang bertaqwa;” Surah Ali Imran ayat 133.
Tetapi, nak kata perempuan ini mahalnya lebih daripada syurga adalah,
Nabi Adam AS yang hidup di dalam syurga itu, yang penuh kenikmatan itu,
boleh pula merasa sunyi dan kekurangan. Ya, di situlah mahalnya
perempuan. Hatta syurga pun dikalahkan.
Maka untuk Adam diciptakan Hawa. Sedang Syurga juga tidak dapat memenuhi fitrah seorang lelaki.
Sebab itu, perempuan sentiasa mahal di dalam jiwa saya. Apatah lagi,
Islam memang nyata mengangkat perempuan di dalam Islam. Disuruhnya
lelaki menjaga perempuan, mengetuai mereka, memenuhi hak-hak mereka, dan
melayan mereka dengan baik serta mulia. Sedang dalam zaman Parsi,
Romawi, perempuan dilayan seperti hamba, kotor, sampah, dan sebagainya.
Nah, perempuan itu tinggi sebenarnya.
Maka Amatlah Rugi Jika Yang Mahal Itu Menjadi Murah
Maka, pada saya, amatlah rugi sekiranya yang mahal menewaskan syurga
itu, menjadi murah dan rendah hanya kerana tidak menjaga diri dan
melanggar perintahNya.
Di sinilah saya mengajak para bidadari sekalian bermuhasabah semula.
Diri kalian sebenarnya mulia bukan?
Maka bagaimanakah kemuliaan itu dijaga?
Siapakah contoh-contoh yang sepatutnya kalian ini ambil untuk kekal mulia?
Peraturan manakah yang anda perlu ikuti dan turuti agar kemuliaan anda ini kekal selama-lama?
Di sinilah Bidadari Dunia muncul untuk membawa anda sama-sama meneroka perkara ini semua.
Sebab perempuan pada saya adalah ibu kepada manusia. Hatta lelaki lahir daripada rahimnya juga. Bayangkan!
Maka dari perut perempuanlah lahirnya pemimpin, panglima perang,
cerdik pandai, saintis dan sebagainya. Tetapi jangan dilupa, daripada
perut perempuan jugalah lahirnya pembunuh, perogol, pencuri dan
sebagainya.
Justeru, saya berpendapat bahawa, sekiranya perempuan itu adalah
seorang bidadari dunia, kemungkinan untuk melahirkan zuriat yang baik
adalah lebih tinggi. Tanpa saya menafikan juga, dari perut perempuan
mana pun, boleh sahaja lahir seorang pemimpin yang mulia kerana
kemuliaan bukanlah sesuatu yang diwarisi. Tetapi kita juga tahu,
peratusnya amat kecil. Dan kita ini diajar menjemput natijah dengan
asbab. Tidak begitu?
Sebab itu jika anda, wahai bidadari-bidadari dunia yang saya kasihi,
perasan, lihatlah perancangan barat yang cuba menelanjangkan
perempuan-perempuan, dan mengeluarkan mereka dari rumah ke arah
kebahayaan, kemudian mewarnainya dengan nama kebebasan, ketinggian dan
kesama rataan. Untuk apa? Bukankah untuk merosakkan generasi yang bakal
lahir dari perut kalian?
Bidadari Dunia, mustahil?
Mana mungkin perempuan di dunia boleh menjadi bidadari!
Mungkin itulah yang terdetik di dalam diri anda. Mungkin.
Saya tidak rasa demikian. Kerana saya pernah melihat bidadari di atas
dunia. Dan saya tahu, sebelum saya lahir, wujud ramai bidadari yang
telah berjalan di atas muka bumi ini.
Antaranya adalah bonda kita, Khadijah RH, Aisyah RH, Hafsah RH dan
semua isteri Rasulullah SAW, sahibah-sahibah baginda seperti Nusaibah
RH, Ummu Sulaim RH, juga figur-figur terdahulu seperti Maryam binti
Imran, Asiah isteri Firaun, dan tidak terkecuali manusia-manusia indah
seperti Ibu kepada Muhammad Al-Fateh, Zainab Al-Ghazalidan sebagainya.
Ya. Mereka adalah bidadari yang pernah berjalan di atas muka bumi.
Mereka juga manusia. Seperti kalian juga.
Maka di mana mustahilnya?
“Kami bukan mereka!”
Saya tertawa. Tidak. Jangan sesekali sangka begitu. Bukan kerana
‘anda bukan mereka’ sebenarnya. Tetapi hanya kerana ‘anda tidak
menjalani proses seperti yang mereka lalui’.
Nah, itulah dia Bidadari Dunia akan bawakan. Bagaimana hendak melalui
proses yang sama seperti mereka. Kalau masuk kilang batik, takkan
keluar jadi kain songket kan? Kalau main batu seremban, takkan sama
dengan main bola jaring kan? Begitulah.
Saya yakin kalau kalian buat apa yang mereka buat, percaya apa yang
mereka percaya, insyaAllah kalian akan mampu menjadi seperti mereka.
Jadi antara pengisian Bidadari Dunia adalah menceritakan perihal mereka
sebagai ibrah buat saya dan anda juga.
Penutup: Simpanlah cita-cita. Jadilah Bidadari Dunia.
Maka bercita-citalah dari sekarang wahai wanita-wanita yang ingin
menjadi mulia. Simpanlah azam dan sematkanlah tekad. Saya akan berusaha
yang terbaik untuk menyampaikan.
Harapan saya adalah, Bidadari Dunia ini mampu menimbulkan kesedaran,
sekaligus mengubah kehidupan, dan akhrinya membuatkan kalian mampu
menjadi tiang-tiang yang menopang ummah ini ke arah kebaikan. Melahirkan
anak-anak dan mendidik mereka dengan kebaikan. Menjadi isteri dan
memperkuatkan suami ke arah mencari redha Ar-Rahman. Menjadi kakak yang
membawa adik-adik ke arah kemuliaan. Menjadi bidadari dunia, yang mampu
menyerikan dan mengindahkan alam yang fana ini, membawanya ke arah apa
yang diredhaiNya.
Inilah dia mukaddimah.
Semoga Allah redha kepada kita, dalam kasih dan sayangNya.
Mari, Menjadi Hamba!
sumber :
© Langitilahi.com
No comments:
Post a Comment
berkata benarlah walaupun pahit